Galeri

C.I.N.T.A. – Cinta Itu Nafsu Tanpa Akal

Allah SWT mencipta manusia sebaik-baik kejadian berbanding makhlukNya yang lain. DianugerahiNya manusia dengan akal untuk berfikir, menilai, merencana, seterusnya membuat keputusan bagi menggerakkan jasad (tubuh badan) untuk bertindak. Manusia juga turut dianugerahkan nafsu yang sentiasa meruntun jiwa untuk berkehendak dengan kemahuan yang pelbagai. Tanpa nafsu manusia tidak akan mempunyai perasaan dan emosi. Perasaan dan emosi ini sentiasa mendorong manusia untuk memiliki apa sahaja nikmat dan keseronokan tanpa mengambil kira soal halal atau haram. Maka apabila nafsu meronta-ronta berkehendakkan sesuatu, akal perlulah bijak menilai dan mengawal kehendak yang tidak menyalahi syariat untuk disalurkan pada tempat yang hak serta menjadi ibadah.

Kehendak nafsu mendorong manusia berkeinginan terhadap makanan, pakaian, harta benda, hubungan seksual, kedudukan, dan seumpamanya. kehendak nafsu sebeginalah yang perlu dinilai dan dikawal oleh akal agar penurutan terhadap kehendak tersebut tidak tergelincir dari landasan serta nilai-nilai Islam. Kita boleh melayan nafsu untuk makan tetapi makanan itu hendaklah dari sumber yang halal serta tidak melampaui had yang sepatutnya. Kita boleh memiliki kekayaan dan kedudukan tetapi cara pemilikannya mestilah selari dengan tuntutan syariat. Begitu juga dengan melayani kehendak terhadap hubungan seks, mestilah melalui perkahwinan serta digauli dengan cara yang baik. Sekiranya kehendak nafsu tadi dituruti mengikut kadar dan saluran yang betul sudah pasti ianya menjadi suatu ibadah yang dijanjikan pahala oleh Allah SWT.

Oleh kerana penciptaan manusia ini dijadikan dalam satu pakej lengkap – adanya agen pendesak (nafsu) dan agen penilai (akal), maka kewujudan perasaan cinta terhadap seseorang yang berlainan jantina menjadi suatu lumrah yang tidak boleh dihalang. Namun, jika dibiarkan perasaan cinta ini tanpa halangan maka berleluasalah kemungkaran yang akan merosakkan sistem kehidupan manusia. Oleh itu Allah turunkan agama untuk memandu akal membuat keputusan dalam mengawal kehendak nafsu. Dalam aspek cinta, Islam menghalalkan hubungan cinta itu dengan perkahwinan. Islam bukan sahaja memberi panduan kaedah penyaluran nafsu cinta ke jalan yang benar malahan ditambah pula dengan “bonus” hikmah yang begitu besar sehinggakan mampu merapatkan silaturrahin antara dua buah keluarga serta melahirkan generasi pewaris dari kedua-duanya.

Walau bagaimanapun, seringkali akal tertewas terhadap tuntutan nafsu. Tambahan lagi, godaan syaitan yang sentiasa memperdaya manusia agar segera memenuhi kehendak nafsu membuatkan keputusan yang diambil tidak lagi dinilai dengan sewajarnya. Digodanya manusia supaya memenuhi kehendak nafsu seks walaupun tanpa ikatan perkahwinan agar manusia terus sesat dalam lubuk maksiat. Oleh Sebab itu, cinta yang sepatutnya lahir dari kehendak nafsu yang telah dikawal oleh akal seringkali disinonimkan dengan perkara-perkara yang tidak baik sedangkan cinta itu sifatnya suci. Perasaan cinta yang disalurkan mengikut syariat akan mewujudkan jiwa yang sejahtera, tenang, dan bahagia. Perasaan cinta yang dilayan membabi buta menjadikan ia suatu bencana. Mungkin kerana itu cinta itu disebut C.I.N.T.A. – Cinta itu nafsu tanpa akal.

Jika kehendak nafsu tidak disalurkan pada tempat yang hak, kita sekadar merasai nikmat yang sementara tanpa keredhoaan Allah. Oleh itu, Salurkanlah kehendak nafsu pada jalan yang diredhoiNya agar nikmat dapat dikecap, redhoNya juga kita dapat.

Advertisements
By kembaraminda

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s